Sesungguhnya senyum itu adalah sedekah (^_^)v

Wednesday

Perginya Tak akan Kembali

Hari isnin merupakan hari yang paling bosan buat aku sebab kuliah pada hari tu bermula jam 6.20 petang, Allah, lama sangat nak tunggu petang tu. Jadi aku mengambil peluang untuk mengulang kaji di library UiTM PTAR 1 level 4, jam pada ketika itu baru 9.00 pagi. Hati aku pada ketika itu rasa sebak tiba-tiba, rasa kosong, ntah kenapa?

Allah, kenapa rasa macam ni? (bisik hati sendirian)
Lantas aku terus capaikan fon dan mendail nombor +6019 953 9+++ nama tertera di telefon “My Mum”

Aku : Assalamualaikum mi…
Ummi : waalaikumussalam.. ha, ni nape ni?
Aku : xde pape mi, saje je.. rindu (mata berkaca)
Ummi : hurm, yer lah (aku yakin, kompem ummi pun rindu jugak)
Aku : mi…, erm…
Ummi : nape ni??
Aku : rasa kosong la mi, macam tak dop smangat nak blajo je…
Ummi : dah nape jadi g tu?
Aku : ntah la mi, hati rasa dop sedap je, macam nok menangis je ari ni… ummi doakan fatin neh?
Ummi : hish! Macam2 la dia ni.. ok insyAllah, ummi doakan, oklah, banyak kerja ni. Nanti call smula…
Aku : ok,la assalamualaikum
Ummi : waalaikumussalam…

Allah, hati hari ini betul-betul tak sedap. Macam-macam rasa, mungkin Allah nak sampaikan sesuatu melalui perasaan ini. Allah…..
Selesai ulang kaji, aku terus ke kuliah… belajar seperti biasa…
Waktu itu aku dalam masih kuliah, mendengar segala bait-bait leteran pensyarahku mengenai tugasan yang tidak dilunaskan dengan sempurna. Tiba-tiba aku mendapat panggilan, melihat terteranya number telefon rumah 09 858 33++ aku terus bergegas keluar kelas untuk menjawab panggilan berkenaan…

Aku : assalamualaikum ye nina?
Kakak : waalaikumussalam, nok bagi tau ni… (sambil menahan sebak)
Aku : nape? Eh nape macam nok nangis je?
Kakak : atin…Wan tak dop da ni…
Aku : wan??! Eh jangan main2..
Kakak : betul la ni… 6.30 tadi wan ninggal… nanti tunggu papa call ok
Aku : innalillahi wa inna ilaihi rajiun (butiran mutiara terus gugur)
Aku mendapat panggilan yang tidak disangka-sangka oleh kakakku di kampong. Allah, bergetar rasa hati bila kakak memberitahu yang nenekku telah pergi mengadap Allah.
Aku masih di luar kelas, terduduk kaku, seribu macam rasa, perginya begitu pantas tanpa sebarang tanda… tiba-tiba ayahnda call
Aku : assalamualaikum ye pa…?
Ayahnda : waalaikumussalam, fatin, wan tak dop dah ni… kena balik sekarang la, nok kebumi esok pagi, sebab nok tunggu sedara yang lain dulu.. (papa bebrbicara dalam nada sebak)
Aku : ok pa…
Ayahnda : bagi tau abang shahir skali ok..
Aku : ok pa, insyALLAH

Aku segera menyembunyikan titisan mutiara dan terus masuk ke kelas untuk mendapat kebenaran pulang awal memandangkan class petang itu akan habis jam 9 malam.

Tepat jam 8.45 malam, abang aku datang dan kami bergegas pulang. Perjalanan kali ini sangat lama iaitu 7 jam kebiasaannya hanya 4 atau 5 jam sahaja. Mungkin akibat kerap kali berhenti sebab masing-masing penat. Dalam perjalanan hanya tangisan dan doa yang mampu mengiringi begitu juga dengan abangku. Dalam perjalanan pulang, kami hanya diam membisu, hanya suara radio sahaja yang kedengaran. Allah, sebak rasa hati ini…

Setibanya kami di rumah jam 3 pagi, perkarangan rumah penuh dengan kereta saudara mara. Aku gagahkan diri melangkah masuk dan melihat sebatang tubuh yang terbujur kaku di ruang keluarga sambil ditemani ayat-ayat suci yang dialunkan oleh adik beradik dan sepupu yang lain. Aku tidak melepaskan peluang untuk turut serta bersama mereka walaupun badan masih penat dek bekasan sisa perjalanan tadi.

Abang Ipar bersama AyahndaKu membersihkan tempat mandian
Aku setia menemani wan sehingga ke pagi…
Aku mengambil peluang untuk memandikan jenazah wan. Aku memandang tubuh itu, terbujur kaku.. Allah, macam mana pengakhiran aku kelak? Adakah baik? Atau sebaliknya?

Aku mengambil kapur barus dan lumurkan pada kaki wan yang terasa sejuk… Allah Maha Hebat, badan wan sangat lembut, langsung tak keras… kulitnya mulus putih, Cuma ada sedikit kesan hitam lebam di belakang lengan bahu akibat darah tinggi mungkin? Sepanjang aku memandikan jenazah, hatiku tidak henti membaca alfatihah dan mendoakan akan keadaaan wan. Mak cik yang mengetuai sesi memandikan jenazah juga memuji akan jenazah wan. Jenazah wan sangat mudah diurus, kata mak cik tu, kalau jenazah yang tak ada masalah penyakit, biasanya dalam 2jam 30 minit juga untuk diselesaikan, tapi kali ini hanya mengambil masa hanya 1 jam 30 minit je. Allahhu Akbar, terima kasih ya Allah kerana memakbulkan doa kami sekeluarga.

Mak Cik yang menguruskan Jenazah Wan

Jenazah wan diuruskan dengan sangat teratur dan teliti perancangannya. Sehinggalah kepada proses solat jenazah.

Anak-Anak Tahfiz dan rakan kenalan Wan sedang menunaikan solat Jenazah
Allah, begitu ramai yang datang untuk sembahyangkan jenazah wan, terasa sebak. Pemergian Wan ditangisi oleh ramai pihak, Kagum dengan Wan.

Saat keranda Wan diusung untuk ke Kubur
Bagaimana aku nanti? Adakah pemergian aku ditangisi atau di syukuri? Allah Ya Rahman, gerunnya! Jangan terlalu takut bila kiamat makin hampir, kerana yang pasti, walau hidup atau mati, hari kiamat tetap jua tiba. Akan tetapi yang kita perlu rasa takut adalah pabila saat kematian makin menghampiri, pada ketika itu segala macam perkara yang dilakukan akan terhenti melainkan 3 perkara iaitu, ILMU yang bermanfaat, SEDEKAH jariah dan DOA ANAK yang SOLEH.